Johor Darul Ta'zim FC (JDT) sebentar tadi mengumumkan pelantikan Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih baru bagi menggantikan Benjamin Mora.

Semalam, JDT mengumumkan pengunduran Mora daripada pasukan itu atas dasar urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan di Mexico.

Harimau Selatan menerusi laman Facebooknya, Johor Southern Tigers, mengumumkan pelantikan bekas pemain kebangsaan Venezuela, Bidoglio, sebagai ketua jurulatih baru berkuat kuasa serta-merta.

Bidoglio, 54, memulakan karier profesionalnya sebagai pemain kelab Argentina, Newell's Old Boys, sebelum menghabiskan sebahagian besar kariernya di Amerika Selatan selain turut pernah mewakili kelab Qatar, Al Arabi, sekitar 2004 hingga 2005.

Dia memulakan karier kejurulatihannya sebagai pembantu jurulatih Newell's Old Boys pada 2013 sebelum menyertai Universidad San Martin dan Aucas sebagai ketua jurulatih.

JDT, dalam satu kenyataan hari ini berkata: "Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim dengan sukacitanya mengumumkan Hector Bidoglio, bekas pemain Venezuela, sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan berkuat kuasa serta merta.

"Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell's Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.

"Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis.

"Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor, Marcelo Bielsa, ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009."



*Kredit foto: Johor Southern Tigers