Menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), mengumumkan perubahan sistem kejurulatihan apabila melantik Estaban Solari selaku ketua jurulatih baru Harimau Selatan mengambil alih tempat Hector Bidoglio.

Dalam pada itu, Bidoglio pula akan dinaikkan pangkat sebagai pengarah teknikal berdasarkan perkongsian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya lagi, Alistair Edwards pula diberikan tanggungjawab lebih besar sebagai ketua pegawai eksekutif JDT.

"Secara peribadi, saya sudah lama mengikutinya (Estaban Solari) secara dekat kerana sudah mengenalinya selama beberapa tahun dan kami sudah lama komunikasi.

"Beliau kini berada bersama skuad Bawah 23 tahun Argentina bersama Javier Mascherano, dan juga sudah ditawarkan ke River Plate, ditawarkan juga ke pasukan pembangunan Barcelona.

"Namun, saya dapat yakinkannya untuk bersama-sama saya, bagi teruskan pembentukan dan projek bola sepak JDT. Dia adalah Estaban Solari, adik kepada Santiago Solari yang kini berada di Real Madrid.

“Jadi, beliau akan ambil tanggungjawab sebagai ketua jurulatih kelab bola sepak JDT, dengan skuad utama. Itu adalah perubahan yang kami akan lakukan pada 2023,” katanya dalam laman rasmi Johor Southern Tigers (JST) malam tadi.

Harimau Selatan melabuh tirai kempen Liga-M 2022 dengan mencipta sejarah tersendiri apabila menyapu bersih kesemua trofi liga domestik -- Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.



Kredit: Sinar Harian

Kredit foto: Johor Southern Tigers