Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sebentar tadi.

Gol tunggal daripada Fernando Rodriguez dalam babak kedua sudah cukup untuk memberikan Harimau Selatan tiga mata penting biarpun Penang kendalian Zainal Abidin Hassan sentiasa memberikan tentangan.

Rodriguez menanduk masuk lintangan Airf Aiman Hanapi untuk menewaskan penjaga gol, Hafizul Hakim Khirul Nizam Jothy, pada minit ke-69.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kian unggul di puncak liga dengan 29 mata, empat mata meninggalkan pencabar terdekat, Sabah FC, selain berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.



Dalam aksi di Stadium Petaling Jaya pula, Kuala Lumpur City FC bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat Selangor FC, yang terpaksa bermain dengan 10 pemain hampir keseluruhan babak kedua.

Ketua pasukan The Red Giants, Brendan Gan, membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-36 dengan satu sepakan voli gemilang dari luar kotak penalti.

Bagaimanapun, laluan kian berliku buat Selangor apabila Ahmad Zikri Khalili dilayangkan kad kuning kedua kerana menarik Fakrul Aiman Sidid pada minit ke-55.

Kelebihan seorang pemain jelas dimanfaatkan KL City untuk melakukan serangan bertali arus dan berhasil menemui gol penyamaan pada minit ke-68 melalui tandukan Romel Morales, yang tiga minit sebelumnya turut gagal menyudahkan peluang sepakan penalti.



Sementara itu, perlawanan di Stadium Hang Jebat pula menyaksikan Sony Norde menjaringkan gol penyamaan buat Melaka United untuk mengikat Petaling Jaya City 2-2.

Emannuel Oti terlebih dahulu meletakkan Hang Tuah di depan pada minit ke-36 tetapi penyerang kebangsaan, Darren Lok, segera menyamakan kedudukan buat PJ City sebelum ke bilik persalinan.

Kapten PJ City, K. Gurusamy, kemudian melepaskan voli jarak jauh untuk meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-64, namun Sony memanfaatkan kesilapan Mahali Jasuli dan melakukan gerakan solo menarik sebelum menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, pada minit ke-76.