Kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) diminta untuk lebih fokus kepada pasukan sendiri menjelang aksi suku akhir TM Piala Malaysia 2022 berdepan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Sabtu ini.

Perkara itu ditegaskan pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio, yang tidak mahu pemain skuad Harimau Selatan berkenaan terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan.

“Bagi aksi suku akhir ini, kami perlu lebih fokus kepada diri (pasukan) sendiri. Ia ternyata lebih penting.

“Perkara itu (fokus) juga akan membuatkan pemain lebih ‘mengenali’ pasukan sendiri khususnya daripada segi kekuatan yang dimiliki selain memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Seterusnya perkara-perkara ini akan membantu menjadikan pasukan ini lebih baik,” katanya selepas perlawanan.

JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia setelah menewaskan PJ City FC 2-0 dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.




JDT menang 4-0 dalam aksi pertama pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 26 Oktober lalu.

Dalam masa sama Kelantan FC mengesahkan slot ke suku akhir dengan agregat 2-1 biarpun sekadar terikat 1-1 ketika berdepan Sarawak United di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Untuk rekod, aksi suku akhir kedua dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, Jumaat depan.

Kredit: Sinar Harian