Harapan untuk menyaksikan Sabah memberikan tentangan sengit buat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), tidak kesampaian apabila pasukan kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain, dibelasah 1-4 di Likas sebentar tadi.

Dua gol daripada Bergson da Silva dalam setiap babak serta masing-masing satu daripada Arif Aiman Hanapi dan Leandro Velazquez memastikan JDT terus merajai kedudukan teratas musim ini.

Malang buat Sabah apabila ayam tambatan mereka, Maxsius Musa, di buang padang dalam babak kedua untuk mereka meneruskan aksi 30 minit terakhir dengan kekurangan pemain.

Penyerang muda berusia 18 tahun Harimau Selatan, Arif Aiman,terus mencipta sensasi apabila larian bijaknya dari sebelah kanan disudahkan dengan gol pembukaan JDT seawal minit ketujuh.

Seminit kemudian, kelalaian jentera pertahanan Sabah terus dihukum, kali ini menerusi Da Silva, yang memanfaatkan tampanan kurang kemas Rawilson Batuil biarpun percubaan awalnya dapat dihalang penjaga gol, Robson Rendy Rining.

Sabah merapatkan jurang dalam babak kedua menerusi gol sepakan penalti pemain import, Levy Madinda, pada minit ke-58 selepas bola sepakan percuma Amri Yahyah didapati terkena lengan Adam Nor Azlin.

Bagaimanapun, momentum itu tidak dapat diteruskan Sang Badak apabila Maxsius dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan gegabah ke atas Natxo Insa.

Situasi itu dimanfaatkan JDT untuk melebarkan jurang dengan Da Silva menemui gol kedua peribadi susulan memanfaatkan hantaran lintang Ariff Aiman untuk melakukan penyudah leretnya.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu kemudian melengkapkan malam gemilang mereka selepas diberikan sepakan penalti yang disempurnakan Leandro Velazquez pada minit ke-87.

Keputusan lain
Liga Super:
Melaka United 1-2 Penang FC
Sri Pahang FC 1-1 Terengganu FC
Selangor 1-2 Kedah

Liga Perdana:
Kelantan United 0-2 Kelantan FC
Perak FC II 0-0 Terengganu FC II