JOHOR DARUL TA'ZIM 1 BORUSSIA DORTMUND 4

Juara empat piala semusim, Johor Darul Ta'zim (JDT), akur dengan kehebatan kelab Bundesliga, Borussia Dortmund, apabila tewas 1-4 dalam aksi persahabatan di Iskandar Puteri sebentar tadi.

Hanya dua hari selepas dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor FC 2-1 di Bukit Jalil, JDT sekali lagi turun beraksi, kali ini dengan berdepan pasukan gergasi Jerman, Dortmund.

Tanpa beberapa pemain utama seperti Jude Bellingham, Julian Brandt, Raphael Guerreiro, Thorgan Hazard, Gregor Kobel, Thomas Meunier dan Youssoufa Moukoko, yang sedang memperkuatkan negara masing-masing dalam Piala Dunia Qatar 2022, Dortmund masih mampu menguasai permainan sejak awal perlawanan.

Dan mereka berada di depan seawal minit ke-11 hasil penyudah Justin Njinmah sebelum Donyell Malen menggandakan kelebihan itu berselang 20 minit.

Bagaimanapun, Arif Aiman Hanapi menggamatkan suasana di Stadium Sultan Ibrahim apabila melakukan gerakan solo menarik sebelum menewaskan penjaga gol, Alexander Meyer, sekali gus merapatkan jurang buat JDT pada empat minit terakhir separuh masa pertama.

Harimau Selatan mempamerkan permainan lebih terbuka dalam separuh masa kedua dan berhasil melakukan beberapa percubaan daripada sepakan percuma Safiq Rahim.

Bagaimanapun, corak menyerang itu secara tidak langsung membuka ruang untuk Dortmund menambah dua lagi jaringan, masing-masing disudahkan Ole Pohlmann pada minit ke-60 dan Samuel Bamba pada minit ke-69.

Selepas membelasah kelab Singapura, Lion City Sailors, 7-2 pada Khamis lalu, Dortmund seterusnya akan menamatkan jelajah Asia mereka dengan menentang skuad kebangsaan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh pada Rabu ini.

Kredit foto: Johor Southern Tigers