KL CITY 0 JDT 3

Keampuhan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), nyata sukar dikekang Kuala Lumpur City yang berdepan tugas sukar di laman sendiri, sebentar tadi.


Jaringan sendiri oleh Romel Morales pada minit ke-41 memakan diri apabila berdepan jalan sukar untuk bangkit dalam aksi Liga Super itu.

Di sebalik keadaan padang yang kurang baik -- lebih-lebih dalam keadaan hujan lebat, namun skuad kendalian Estaban Solari tetap mampu mengatur gerakan berbahaya dan berhasil merobek tuan rumah buat kali kedua di Stadium Cheras.

Fernando Foriesteri mencipta lambungan kemas selepas menghidu larian Endrik Dos Santos yang menyudahkannya dengan tandukan klinikal.

Tetapi skuad Warga Kota itu enggan berpeluk tubuh sahaja yang menyaksikan rembatan leret ketua pasukan, Paulo Josue, sedikit tersasar.

Namun, ia menyemarakkan lagi hasrat JDT untuk menokok jaringan yang menjelma pada masa kecederaan yang disudahkan Arif Aiman Hanapi.

Bagi pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco, dua keputusan awal bukan gambaran awal mengenai kualiti mereka musim ini selepas seri 2-2 dengan Penang dan berkunjung ke Terengganu, Ahad ini.

"Apabila bertemu sebuah pasukan yang sebegini ampuh, sedikit kesilapan akan mengundang padah.

"Jadi dalam perlawanan seperti ini, kami sedar kami perlu berada di tahap sempurna.

"Sebelum jaringan sendiri, perancangan kami tampak lancar. Mereka tidak mampu berbuat banyak dan gol sendiri itu menjejaskan moral kami.

"Ia tidak dijangka dan bersedia untuk kami tanggung. Saya harap kedudukan kekal 0-0 dalam separuh masa pertama," katanya selepas perlawanan.




Menurutnya lagi: "Bojan amat bijak dalam soal taktikal dan kami sedang menyesuaikan diri dengan tiga pertahanan.

"Malangnya seminggu sebelum sepak mula, kami dilanda banyak kecederaan pada awal musim ini jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan gandingan baru.

"Selepas tujuh minggu menjalani persiapan dan mula mencapai keserasian, perkara seperti ini terjadi dan kami perlu membentuk pasukan semula.

"Berkenaan jaringan yang dibolosi, kami agak berkarat dalam berkomunikasi.

"Kami tidak perlu panik, kami perlu tunggu pemain yang tercedera agar kembali dan berkembang bersama-sama."