RATCHABURI 0 JDT 1

Jaringan tunggal Leandro Velazquez memastikan Johor Darul Ta'zim (JDT) mendaki ke tangga kedua Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL), sebentar tadi.


Pemain import dari Argentina itu menimbang bola sebelum berpaling ke belakang sambil melepaskan voli kaki kiri untuk melepasi jangkauan penjaga gol Ratchaburi Mitr Phol, Kampol Pathomakkakul, pada minit ke-47 di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Ketua jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora, melakukan percaturan berbeza berbanding ketika tewas tipis 0-1 kepada Nagoya Grampus dalam perlawanan pertama saingan, Selasa lalu.




Akhyar Rashid dan Safiq Rahim diberi kepercayaan menjana bahagian tengah sambil Safawi Rasid dan Afiq Fazail memainkan peranan dari bangku simpanan dalam separuh masa kedua.

JDT seharusnya mampu menang lebih bergaya tetapi baik Safawi mahupun Bergson Da Silva seperti kurang bernafsu untuk meledak ketika berada di kotak penalti lawan untuk keputusan kekal 1-0.

JDT akan menutup pusingan pertama Kumpulan G itu berdepan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers, yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain dalam kekalahan besar 0-3 kepada Nagoya, hari ini.