Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail, mendedahkan terkilan dengan sikap segelintir penyokong Harimau Selatan itu mula melupakan apa yang telah dicapai pasukan selama ini.

JDT merekodkan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut musim 2020 sekaligus meletakkan mereka di tahap tersendiri dalam saingan bola sepak tempatan, sebaliknya proses perjalanan mereka untuk mengecap kejayaan di pentas Asia masih lagi sesuatu perkara yang jauh digapai.

Satu kemenangan dan satu seri daripada enam perlawanan yang dilalui JDT dalam saingan ACL untuk menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan G dan gagal lolos ke peringkat seterusnya.

Walaupun menjadi satu-satunya kelab dari Malaysia yang terus beraksi di pentas itu sejak tiga tahun yang lalu, segelintir penyokong masih lagi menganggap apa yang telah dilalui kelab masih belum cukup berbanding apa yang telah diraih selama ini.

Berbicara dalam program Bola@Mamak semalam, Tunku Ismail menyuarakan pandangannya mengenai isu ini serta mendedahkan hampir meninggalkan kelab yang telah dibangunkannya itu empat tahun lalu.

"Berkenaan untuk meninggalkan JDT, ia bukan sesuatu keputusan yang mudah kerana ia memainkan emosi yang sangat berbeza. Satu, saya yang melahirkan kelab ini untuk mencapai ke tahap ini. Dan keyakinan daripada pihak penajaan termasuk dengan saya sendiri menyalur duit ke dalam kelab ini.

"Saya ingin meninggalkan bola sepak pada 2018, saya telah berbincang mengenai hal ini kerana memakan banyak masa serta memakan banyak belanja yang besar kerana saya mengeluarkannya sendiri.

"Tetapi saya mengambil langkah untuk membelanjakan wang sendiri buat JDT kerana terdapat pihak penajaan yang perlu menarik diri ekoran pandemik COVID-19.

"Kadang-kadang kita sebagai seorang manusia, perlu dihargai dan sejujurnya selepas perlawanan ACL musim ini, saya mula rasa lain kerana penyokong JDT mula lupa dari mana kita datang, apa itu kejayaan dan di mana kita berada hari ini berbanding ketika kami mula melangkah.

"Pada pandangan saya apabila lupa semua itu dan anda akan melahirkan satu sikap tidak bersyukur. Kalah menang itu belakang kira, apa yang harus dilihat adalah pencapaian yang telah dicapai sehingga hari ini serta projek pembangunan serta instrastruktur pasukan yang berada di tahap terbaik."