LIVERPOOL 1 MAN CITY 1
(City menang penentuan penalti 5-4)

Jurgen Klopp memberikan amaran kepada Pep Guardiola dan Manchester City bahawa Liverpool akan mencabar mereka mereka bagi saingan domestik musim ini di sebalik tewas dalam aksi Perisai Komuniti, semalam.


City meraih trofi pertama musim ini selepas melakar kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti di Wembley selepas perlawanan berakhir 1-1.

Raheem Sterling meletakkan City mendahului bekas kelabnya itu dalam separuh pertama sebelum Liverpool bangkit menerusi tandukan Joel Matip sementara Mohamed Salah dan Xherdan Shaqiri hampir meledak jaringan kemenangan.

Claudio Bravo menafikan sebilangan besar percubaan barisan penyerang Liverpool dan muncul wira dalam penentuan penalti apabila menepis keluar sepakan Georginio Wijnaldum, sebelum Gabriel Jesus melengkapkan kemenangan skuad kendalian Guardiola itu.

Pengurus Liverpool, Klopp, gembira di atas usaha pasukannya dalam separuh masa kedua dan percaya mereka telah membuktikan kepada City bahawa mereka akan memberikan tentangan sehingga penghujung musim 2019-20.

"Ia merupakan persembahan yang baik, terutama sekali dalam separuh masa kedua," katanya kepada BT Sport.

"Sekurang-kurangnya kami berjaya meledak jaringan penyamaan. Satu tepisan menjadi pemisah dan saya tidak kecewa dengan kekalahan ini. Persembahan pasukan lebih penting hari ini daripada meraih kemenangan. Kami membuktikan pasukan ini masih lagi mampu menampilkan cabaran.

"Terdapat perubahan yang dilakukan selepas permulaan yang goyah. Kami telah menghasilkan peluang, cuma gagal meraih jaringan. Tahniah kepada City."

Skuad kendalian Guardiola menamatkan saingan liga musim lalu hanya dengan kelebihan satu mata ke atas Liverpool, pengendali City itu berasakan pertembungan terbaru mereka itu membuktikan persaingan yang sengit bakal ditampulkan oleh kedua-dua pasukan.

"Ia merupakan perlawanan yang menarik; tiada pasukan mendominasi keseluruhan 90 minit," kata Guardiola.

"Kami agak kepenatan pada penghujung 15 minit dan mereka berpeluang memenangi perlawanan ini.

"Ia merupakan ujian terbaik buat kedua-dua pasukan. Perlawanan ini membuka mata pemain-pemain mengenai saingan yang bakal dihadapi musim ini. Setakat ini, tiada apa yang membezakan kedudukan pasukan.

Apabila dicadangkan Liverpool sebagai pencabar mereka dalam saingan takhta liga, Guardiola tidak mengetepikan tentangan daripada kelab lain.

"Manchester United, Arsenal, Tottenham dan Chelsea turut akan memberikan cabaran kepada City. Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku."