Kedudukan Roberto Mancini selaku pengendali Itali dipertahankan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina, walaupun juara Euro 2020 itu gagal layak ke Piala Dunia 2022.

Pasukan Azzurri itu rebah 0-1 kepada Macedonia Utara dalam perlawanan separuh akhir play-off kelayakan di Palermo, awal pagi tadi, secara tidak langsung menamatkan harapan mereka untuk meraih tempat dalam kejohanan di Qatar berkenaan hujung tahun ini.

Setelah gagal lolos ke Piala Dunia 2018 di Russia, maka Itali tidak akan beraksi dalam dua edisi berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Bagaimanapun, dengan Mancini telah mengetuai pasukan itu mengharungi rekod tanpa kalah 37 perlawanan termasuk kejayaan Euro 2020, Gravina percaya bekas pengendali Manchester City dan Inter tersebut masih merupakan individu yang tepat untuk memikul amanah tersebut.

"Saya harap Mancini akan terus bersama kami. Dia mempunyai komitmen terhadap projek ini," kata Gravina kepada Rai Sport.



"Seperti semua warga Itali yang lain, saya berharap dia akan menelan kegagalan ini dan kekal menerajui projek kami. Saya masih bertenaga.

"Saya minta maaf, seperti juga peminat, saya benar-benar kesal. Kegembiraan hebat musim panas sebelum ini tidak bertahan lama dan kekalahan ini menjadi kepahitan terbesar buat kami. Kami tidak sangka.

"Mereka hebat dan akan terus begitu. Beberapa bulan lalu mereka memberikan negara kita satu impian yang luar biasa. Namun, kekalahan malam ini membuatkan kami mengerti bahawa ada sesuatu yang perlu kami lakukan."

Gravina pernah meminta perlawanan Serie A sebelum ini ditangguhkan supaya dapat memberi lebih banyak masa kepada Itali untuk membuat persiapan bagi perlawanan itu tetapi permintaannya ditolak oleh penganjur liga.

"Saya berasa kasihan kerana pemain hanya sempat bertemu sehari untuk persiapan perlawanan. Ia tidak membantu, tetapi saya tidak mahu menimbulkan kontroversi," tambahnya.