Itali dan Argentina akan bertembung dalam satu perlawanan yang digelar "Finalissima" pada Jun depan susulan kejayaan masing-masing menjuarai Euro 2020 dan Copa Amerika.

Ia merupakan tahun gemilang buat Azzurri dan Albiceleste, di mana kedua-duanya bangkit daripada waktu sukar untuk muncul juara dengan penuh bergaya.

Itali bangkit daripada kegagalan layak ke Piala Dunia Russia 2018 manakala Lionel Messi pula akhirnya menjulang kejuaraan peringkat Antarabangsa pertamanya bersama Argentina.

Kejayaan Argentina itu turut menamatkan penantian selama 28 tahun negara itu dalam merebut gelaran antarabangsa -- satu tempoh di mana mereka tewas empat aksi final Copa America dan satu perlawanan akhir Piala Dunia.

Itali pula tidak pernah memenangi Kejohanan Eropah sejak 53 tahun lalu, di mana ia merupakan rekod jarak terpanjang di antara dua kejuaraan bagi satu pasukan kebangsaan.

Menjelang kejayaan itu, Itali juga mengatasi rekod 30 perlawanan tanpa kalah dalam kesemua kejohanan, sekali gus mencipta rekod baru bola sepak peringkat antarabangsa.

Itali dan Argentina kini akan mencongak perhitungan bagi satu perlawanan istimewa di London -- venue khusus perlawanan itu masih belum ditentukan -- pada 1 Jun 2022 sebagai sebahagian daripada kesepakatan baru yang dicapai dua badan induk benua berkenaan, iaitu Konfederasi Bolasepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL).

Kedua-dua badan induk itu telah menandatangani memorandum kesefahaman pada Februari tahun lalu untuk mengadakan kerjasama melalui pelbagai cara.

Rabu lalu, memorandum itu diperbaharui dan dilanjutkan sehingga Jun 2028 dan penganjuran Finalissima turut disahkan sebagai sebahagian daripada kesepakatan itu.