Kecederaan melecur tahap empat yang dialami oleh pemain Selangor FC, Faisal Halim mungkin boleh menyebabkan komplikasi jangkitan kuman sekali gus memberi kesan secara langsung untuk dia terus bermain di tahap prestasi terbaiknya pada masa akan datang.

Pakar Perubatan Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, beliau tidak dapat memberikan penerangan secara terperinci kerana tiada maklumat lengkap mengenai perubatan Faisal.


Bagaimanapun, perkara yang paling merisaukannya adalah risiko jangkitan kuman yang akan dihadapi oleh pemain kelahiran Pulau Pinang itu kerana kulit manusia seperti lapisan untuk mencegah daripada kuman masuk dalam badan dan bila lapisan itu semakin nipis ia boleh mendatangkan kesan serius.

Tambahnya, mengikut tahap melecur yang dialami oleh pemain bola sepak Harimau Malaya itu, ia memerlukan jangka masa yang lebih panjang untuk kembali sihat sepenuhnya sebelum turun semula ke padang.

"Jangkitan kuman itu juga boleh memberi kesan dalam jangka masa panjang dan itu sebenarnya akan mempengaruhi prestasi dia selepas ini.

"Sebenarnya, risiko jangkitan kuman bergantung kepada tahap kecederaan tersebut. Namun, jika terdapat jangkitan kuman, seperti biasa doktor akan beri rawatan yang sesuai seperti antibiotik dan sebagainya. Selain itu, rawatan yang lebih rapi perlu dilakukan untuk penyembuhan kecederaan tersebut. Bagaimanapun, komplikasi ini jarang berlaku dan kalau berlaku pun, bezanya hanya lebih masa lagi untuk sembuh, kalau sekarang ini kita jangka tiga minggu (melecur tahap kedua), mungkin lebih daripada itu (bagi melecur tahap empat).

"Berapa lama untuk dia pulih itu saya tak pasti, ia bergantung kepada tahap kecederaan tersebut di mana kita tiada maklumat terperinci. Tapi saya yakin jaranglah berlaku dan untuk atlet seperti Faisal Halim ini, dia mempunyai sistem imun yang bagus, jadi penyembuhan kecederaan itu Insya-Allah lebih cepat. Dengan penjagaan yang rapi dengan pasukan perubatan ini (Selangor FC) saya rasa insya-Allah dia akan kembali dan pulih seperti yang dirancang," katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, mana-mana atlet profesional yang mengalami kecederaan, sudah pasti akan memberi kesan dari segi emosi dan psikologi kepada individu berkenaan untuk kembali mendapatkan rentak permainan terbaiknya.

Namun begitu, beliau yakin dengan sokongan penuh dari orang sekeliling dia dan bantuan perubatan dari pasukan Selangor FC, Faisal mampu kembali pulih sebelum turun berlatih dan bermain untuk pasukan Red Giants serta skuad negara.

"Apa-apa kecederaan sekalipun memang akan ada kesan emosi dan psikologi dia tetapi saya yakin atlet high performance seperti Faisal Halim, mempunyai semangat daya juang yang tinggi untuk kembali sembuh.

"Saya yakin Faisal Halim ada semangat juang yang tinggi dan peluang untuk kembali ke tahap permainan yang tinggi itu memang ada dengan adanya sokongan kuat dari keluarga dan pasukan perubatan, kawan-kawan serta pegawai dari Selangor FC," kata Ahmad Munawwar. -Institut Sukan Negara Malaysia