Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, mengesahkan badan induk itu sudah menerima aduan rasmi daripada pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC semalam berkenaan prestasi pengadil sewaktu perlawanan Liga Super berdepan PDRM FC, Sabtu lalu.

FAM, bagaimanapun, akan meneliti terlebih dahulu laporan Jawatankuasa Penilai Prestasi Pengadil FAM sebelum menentukan sebarang keputusan atau tindakan.

Tambah Noor Azman, FAM sentiasa memantau prestasi dan akan menambah baik segala kelemahan dari semasa ke semasa.

Selain Kedah, Noor Azman turut mengesahkan FAM terlebih dahulu menerima aduan rasmi daripada Kuala Lumpur City FC membabitkan mutu pengadilan ketika pertemuan dengan Penang FC pada 25 Februari lalu.

"Kami menunggu daripada penilai pengadil dan saya perlu menilainya semula, jadi kita tunggu laporan pengadil yang akan saya terima hari ini," katanya kepada Astro Arena.

"Laporan daripada Kedah sudah saya terima semalam.

"Kita boleh mengambil contoh tahun lalu, di mana kami menerima lebih kurang cuma sembilan laporan sepanjang saingan Liga Super.

"Bagi tahun ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi pengadil tetapi setakat sedikit-dedikit itu biasa dan kami akan memperbaikinya dari semasa ke semasa.

"Saya juga sudah berbincang dengan ketua unit pengadil dan mengingatkannya bahawa prestasi pengadil perlu dijaga," katanya.

Ketika ditanya mengenai penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) bagi saingan Liga Malaysia, Noor Azman memberikan bayangan bahawa ada kemungkinan besar ia akan dapat digunakan sebelum berakhir saingan musim ini jika segala proses berjalan dengan lancar.

"Mengenai VAR, kami sudah sampai ke tahap terakhir dan dalam Jun depan, kami akan mengadakan mesyuarat dengan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

"Sekurang-kurangnya, kami akan mengadakan kursusnya tahun ini juga kerana kami mahu menyaksikan pemgadil kita dapat mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa, terutama dalam Piala Dunia 2026," tambahnya.