Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan membuat aduan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan aksi ketiga Liga Super 2023 bertemu PDRM FC pada malam Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, aduan itu bakal dikemukakan selepas melihat kembali rakaman perlawanan tersebut yang berkesudahan Sang Kenari tersungkur tewas 0-1 kepada lawan di laman sendiri.


Menurutnya, kelab itu bukan mempertikaikan keputusan perlawanan sebaliknya memastikan mutu pengadilan pada perlawanan liga super berjalan dengan lebih baik pada masa hadapan.

"Kami akur keputusan pengadil, tetapi kita lihat sebagai orang yang membuat keputusan di atas padang, pengadil perlu mencapai tahap penilaian yang tepat dan seimbang bagi memastikan isu kekecohan dan ketegangan antara pemain dan juga penyokong yang hadir dapat dielakkan.

"Bukan sebab kita kalah dan tidak puas hati tetapi aduan ini untuk memastikan tindakan yang tepat boleh diambil sekiranya ada kelemahan ketara yang menjejaskan mutu pengadilan di Liga Malaysia," katanya mengulas dua kad merah yang dilayangkan pada perlawanan tersebut.

Kad merah yang dilayangkan kepada ketua pasukan, Manuel Ott dan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain bukan sahaja menyaksikan ketegangan di dalam padang namun berlarutan sehingga tamat perlawanan apabila hampir 1,000 penyokong berhimpun di hadapan pintu utama Stadium Darul Aman menyatakan rasa tidak puas hati kepada tindakan pengadil.

Khamal Idris berkata lagi, pemilihan pengadil yang berkualiti perlu dilakukan pihak berwajib untuk mengangkat mutu Liga Malaysia ke tahap lebih baik pada masa hadapan.

"Saya percaya dan yakin bahawa MFL mempunyai senarai pengadil berkualiti dan mampu mengendalikan perlawanan dengan baik dan perkara ini secara tidak langsung akan meningkatkan imej bola sepak kita.

"Saya bimbang jika perlawanan tidak dikendalikan oleh pengadil bermutu, pastinya mengundang suasana tegang dan luar kawalan di dalam serta luar stadium," ujar bekas pemain Kedah itu.

kredit: Sinar Harian