Walaupun hangat menjadi bualan rakyat Malaysia mengenai isu padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, nyata sehingga kini Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Dato' Hans Isaac kekal menutup mulut dari meluahkan sebarang rasa dan pendapat.

Sedikit trivia, Hans Isaac dilantik sebagai Pengerusi PSM bagi sesi 2023-25 bermula pada Jun tahun lalu.Dengan situasi ini nyata melahirkan rasa kecewa rakyat Malaysia terhadapnya sekaligus ada yang mendesak untuk Hans melepaskan jawatannya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), malam tadi menyatakan bahawa segala keputusan yang bakal dibuat adalah bersama Lembaga Pengarah.



"Hans Isaac dilantik bagi tempoh dua tahun dan saya percaya dalam PSM sekarang segala keputusan dibuat bersama Lembaga Pengarah.

Lembaga Pengarah sudah mengambil keputusan untuk rumput selepas konsert Coldplay, bagi kepada pakar untuk masuk dan lakukan tugas, itu adalah keputusan Lembaga Pengarah. Jadi, kita kena tunggulah," ujarnya lagi.

Hannah turut memaklumkan selepas tamatnya konsert Coldplay pada November tahun lalu, PSM telah mendapatkan khidmat pakar rumput dari Australia bagi melakukan segala perancangan untuk penjagaan rumput di stadium itu.

"Sebab itu, selepas perlawanan malam ini (Malaysia menentang Oman pusingan kelayakan Piala Dunia) kita nilai dulu.

"Saya juga akan bermesyuarat untuk mendengar dan dapatkan maklum balas daripada pakar rumput kerana saya mahu pastikan terus ada penambahbaikan.

"Seperti yang saya jelaskan di Parlimen, kita tiada pilihan di mana saya ada dua stadium. Disebabkan saya tiada dua pilihan itu, kita kena pastikan kita jaga rumah untuk Harimau Malaya dan pada masa yang sama kita juga kena bagi ruang untuk konsert.

"Hasil daripada konsert semua masuk ke akaun perbadanan stadium dan dalam tabung berkenaan kita belanja untuk naik taraf stadium," katanya.