Alexander Isak menjaringkan dua gol untuk memberikan Newcastle United kemenangan 2-1 di Nottingham Forest dan percaya Magpies boleh melonjak naik selepas rehat antarabangsa.

Penyerang Sweden itu menyempurnakan sepakan penalti lewat untuk memperoleh kemenangan di City Ground, melonjakkan Newcastle kepada 47 mata daripada 26 perlawanan.

Mereka hanya ketinggalan satu mata di belakang Tottenham di tangga keempat dengan satu perlawanan dalam tangan dan berkelebihan lima mata ke atas Liverpool.

Beberapa pemain mereka akan mewakili skuad kebangsaan masing-masing dalam tempoh dua minggu berikutnya, sebelum perebutan tempat Liga Perdana Inggeris disambung semula.

Emmanuel Dennis meletakkan Forest di hadapan dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi pada minit ke-26, tetapi Newcastle menyamakan kedudukan beberapa saat sebelum separuh masa apabila Isak menyempurnakan hantaran lintang Joe Willock.

Ketika perlawanan kelihatan bakal berakhir dengan keputusan seri, bola terkena tangan Moussa Niakhate sekaligus memberikan Newcastle penalti pada masa kecederaan dan Isak tidak melakukan kesilapan bagi memastikan kemenangan.

Ditanya mengenai tempat ke Liga Juara-Juara, Isak berkata di Sky Sports, "Kami berasa yakin. Kami bercakap tentang betapa pentingnya untuk memasuki rehat ini dengan perasaan yang baik.

"Semoga ini akan memberi kami tenaga apabila kami kembali beraksi nanti."