Alexander Isak menandatangani kontrak lanjutan dengan Real Sociedad yang akan mengikatnya di kelab LaLiga itu sehingga penghujung musim 2025-26.

Penyerang Sweden itu menjaringkan 26 gol di Sepanyol sejak tiba daripada Borussia Dortmund selain turut menjaringkan enam gol ketika pasukannya menamatkan penantian gelaran selama 34 tahun dengan memenangi Copa del Rey musim 2019-20.

Selepas membantu negaranya layak sehingga pusingan 16 Euro 2020, Ishak menetapkan masa depannya bersama La Real, yang sebelum ini mencapai kesepakatan dengan Dortmund mengenai klausa pembelian semula pemain itu.

Berdasarkan laporan media di Sepanyol, kontrak baru pemain berusia 21 tahun itu -- yang dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) -- turut mengandungi klausa pelepasan bernilai €90 juta (RM443.26 juta).

"Saya amat gembira untuk meneruskannya bersama La Real. Ia sebuah kelab yang hebat.

"Saya berasa disayangi di sini dan berharap dapat menikmati banyak perkara bersama pasukan ini untuk tahun-tahun mendatang," katanya.