Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim, gusar masih belum menemui keistimewaan sebagai satu pasukan membabitkan skuad kendaliannya musim 2023.

Tegas Irfan, dia memiliki dua pemain di bahagian serangan yang ada kelebihan individu iaitu Sudi Abdallah dan Sirojidin Kuzayev namun itu belum cukup untuk memantapkan kekuatan sebuah pasukan.

Ia secara jelas dapat dilihat dalam beberapa siri persahabatan di Kemboja ketika ini.

"Walaupun mereka pemain yang berkualiti, masih terdapat ruang untuk diperbaiki supaya mereka beraksi sebagai satu pasukan," kata Irfan.

Dalam masa sama, Irfan turut tidak berpuas hati dengan kemampuan yang di bawa pertahanan kelahiran Brazil, Celeo Santos, yang gagal menyerlah dalam pramusim.

"Saya mahukan setiap pemain daya tahan yang tinggi, mahukan mereka dapat beraksi di tahap terbaik dalam setiap perlawanan."

Bek tengah, Mihilo Jabanovic, pula berhadapan kecederaan serius dengan tempoh rehat selama empat minggu dengan jangkaan hanya akan memulakan aksi pada perlawanan minggu ketiga liga.