TORINO 1 INTER 1

Simone Inzaghi berkata Inter akan menghadapi '10 perlawanan akhir' sebagai sandaran untuk mempertahankan kejuaraan Serie A selepas berputih mata seri 1-1 dengan Torino, awal pagi tadi.


Nerazzurri mengelak kekalahan di Turin hasil jaringan penyamaan Alexis Sanchez pada masa kecederaan tetapi ia merencatkan usaha mereka untuk mengekalkan trofi Scudetto.

Inter giat menghambat pendahulu, Milan, dengan jurang empat mata sambil diekori Napoli selain kebangkitan Juventus akhir-akhir ini.

Bercakap selepas wisel penamat, bekas pengurus Lazio itu berkata pasukannya perlu menerapkan mentaliti kalah mati dan menyeru anak buahnya agar lebih memikirkan ke depan.

“Saya kecewa dengan pendekatan permainan kami,” katanya kepada DAZN.

“Jika kami mahu memenangi Scudetto, kami perlu mempunyai sikap berbeza.

"Baru-baru ini memang kami terlibat dalam banyak perlawanan dan kehilangan tenaga tetapi ia tidak seharusnya dijadikan alasan. Kami ada lagi 10 perlawanan lagi selain Coppa Italia, jadi kami tidak boleh tersilap langkah."


Inzaghi berasakan Inter sepatutnya menjaringkan gol penyamaan lebih awal untuk memadam kelebihan tuan rumah selepas penyudah Gleison Bremer.

“Dalam separuh masa pertama kami terpaksa mengekang gaya agresif mereka. Walaupun mereka menjaringkan gol melalui sepakan sudut terlebih dahulu, kami pula mempunyai dua peluang keemasan,” katanya.

"Dalam babak kedua, kami memasuki padang dengan semangat berbeza dan kami memperoleh gol sebelum tempoh 90 minit berakhir."

Inter sudah pasti menaruh harapan untuk kembali ke landasan kemenangan sebelum rehat antarabangsa terakhir musim ini apabila bakal berhitung dengan Fiorentina di San Siro, hujung minggu depan.