Simone Inzaghi meratapi kekalahan pertamanya dalam Serie A selaku pengurus Inter, apatah lagi kepada bekas kelabnya, Lazio, dengan melabel pasukannya 'hilang pertimbangan".

Mereka tumpas 1-3 selepas tuan rumah bangkit dalam separuh masa kedua dalam pertemuan di Rom itu dengan mengambil kesempatan dalam gol kontroversi pada lewat permainan.

Ketika Federico Dimarco terbaring di atas padang kerana kecederaan, Lazio menggegar gawang lawan pada minit ke-81 untuk 2-1 di depan menerusi tampanan Felipe Anderson dari jarak dekat selepas rembatan kencang Ciro Immobile ditepis Samir Handanovic.

Inter amat berang hingga mendorong pertelagahan kedua-dua kem yang membawa kepada siri layanan kad kuning. Sergej Milinkovic-Savic kemudian mengukuhkan kedudukan Lazio dengan satu tandukan kencang bagi mengakhiri catatan tujuh aksi tanpa kalah Inter dalam liga.

Pasukan kendalian Inzaghi itu terlebih dahulu memecah kebuntuan dengan sepakan penalti Ivan Perisic sebelum Lazio turut dihadiahkan peluang yang sama pada minit ke-64 selepas tandukan Patric terkena tangan Alessandro Bastoni. Immobile menyudahkan kesempatan berkenaan dan sejak itu mereka mula mendapatkan momentum.




Inzaghi mendedahkan perasaannya ketika ini bercampur-baur: "Ini adalah prestasi terbaik yang kami pamerkan akhir-akhir ini. Selepas meledak gol, kami seharusnya menguruskan perlawanan ini dengan lebih baik iaitu daripada segi hantaran akhir selain menggandakan pendahuluan kami."

Dikutip di laman sesawang rasmi Inter pula, dia menambah: "Sayangnya, mereka menjaringkan gol penyamaan dari sudut yang kami tidak sepatut lepaskan. Sejak itu, suasana permainan berubah dan Lazio kembali bersaing.

"Gol kedua agak pelik dan kami hilang pertimbangan, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh kami lakukan. Ia mengecewakan. Ini adalah satu kekalahan yang tidak mencerminkan prestasi kami dalam liga, tetapi kami akan meneruskan prestasi ini."

Inter menduduki tempat ketiga dalam Serie A di belakang Napoli dan Milan selain perlu mengadakan persiapan berdepan Juventus, hujung minggu depan.