Peranan Milan Skriniar sebagai ketua pasukan Inter telah ditarik balik gara-gara persetujuan untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG), kata Simone Inzaghi.

Tetapi pengurus Nerazzurri itu tetap menjangkakan pertahanan tersebut akan memulakan perlawanan 'derby' menentang Milan, awal pagi esok.

Skriniar mendedahkan dia telah mencapai persetujuan dengan PSG minggu lalu, walaupun perpindahan itu tidak akan direalisasikan hingga kontraknya tamat pada Jun depan di sebalik Inter berpendirian teguh dengan tangga harga €20 juta (RM92.1j) yang ditetapkan dalam jendela perpindahan bulan lalu.

Pemain antarabangsa Slovakia itu terlepas kemenangan Coppa Italia ke atas Atalanta Rabu lalu dan menyarung lilitan kapten buat terakhir ketika menentang Empoli pada 23 Januari lalu yang menyaksikannya dibuang padang.


Dengan ketua pasukan semasa Samir Handanovic kehilangan tempat kepada Andre Onana, Skriniar terpilih untuk mengetuai Inter bagi sebahagian besar musim ini, tetapi Inzaghi mendedahkan perkara itu tidak akan berlaku lagi.

"Kami mempunyai hierarki berdasarkan penampilan tetapi atas apa yang berlaku maka dia tidak lagi akan dilantik sebagai kapten," katanya dalam sidang media pra-perlawanan.




“Kami telah berbincang mengenainya dengan sangat tenang.

"Kapten sebenar ialah Handanovic, kemudian kami akan membuat skala berdasarkan penampilan dengan Marcelo Brozovic, Danilo D'Ambrosio dan Lautaro Martinez.

"Perkara paling penting bagi saya ialah perlawanan."

Inzaghi masih berkemungkinan untuk menamakan Skriniar dalam barisannya ketika berdepan pesaing sekota, Milan, yang tergelincir daripada empat teratas Serie A selepas kemarau kemenangan dalam enam perlawanan.

"Dia seorang pemain yang hebat, yang berusaha dengan sangat baik pada setiap hari. Dia mungkin akan menjadi pemula perlawanan ini."