Legenda Barcelona, Andres Iniesta, berkata dia mempunyai impian untuk kembai ke Camp Nou pada satu tahap selepas persaraannya.

Pemain tengah itu melakukan 674 penampilan buat Blaugrana dalam kesemua kejohanan selain menjaringkan 57 gol sepanjang 16 tahun berbakti bersama skuad senior pasukan itu.

Pada usia 37 tahun, legenda Sepanyol itu masih bermain di kelab Jepun, Vissel Kobe, dan telah memenangi Piala Emperor dan Piala Super Jepun sejak meninggalkan Barcelona pada 2018.

Kontraknya bersama kelab Liga J1 itu akan tamat pada Januari 2024, di mana pemain veteran itu mungkin akan bersara dan berpotensi untuk kembali ke Catalonia.

"Benar ia (kembali ke Barcelona) adalah satu impian saya," kata Iniesta kepada BBC.

"Saya harap ia akan berlaku kerana ia merupakan kelab paling lama saya berkhidmat.

"Anda tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, anda juga tidak akan tahu bagaimana saya akan dapat kembali ke sana atau siapa yang akan menguruskan pasukan itu pada waktu-waktu berkenaan.

"Jadi, terdapat banyak faktor yang menjadikan ia amat sukar untuk melihat apa yang akan berlaku tetapi jika anda tanya kepada saya, jawapannya benar," katanya.

Bagaimanapun, penjaring gol kemenangan Sepanyol dalam final Piala dunia 2010 itu masih belum menentukan peranan yang mahu dikejarnya selepas bersara kelak.

"Adakala saya fikir saya mahu menjadi jurulatih, adakala saya fikir minat saya mungkin akan membawa saya ke arah berbeza.

"Saya hanya tahu yang saya masih mahu berada dalam bola sepak dan apabila saya bersara, saya akan mendapatkan lesen kejurulatihan tetapi saya tidak tahu sama ada saya akan menggunakannya atau tidak pada masa depan.

"Belum lagi saya bangun pagi dan berfikir 'saya mahu lakukan ini', setakat ini, saya hanya menikmati permainan saya, berlatih dan kita akan lihat apa yang akan berlaku pada masa depan," katanya lagi.