Zlatan Ibrahimovic memiliki impak yang lebih besar kepada bola sepak Itali berbanding Cristiano Ronaldo, menurut bekas ketua jurulatih Milan dan Juventus, Alberto Zaccheroni.

Pemain berusia 39 tahun itu telah memberi kesan yang cukup besar sejak bergabung dengan Milan pada bulan Januari, menjaringkan 11 gol dalam 20 penampilan pada separuh kedua kempen 2019-20.

Dia berada dalam prestasi yang sangat hebat musim ini walaupun terlepas aksi hampir sebulan selepas positif COVID-19, mencatat empat gol hanya dalam dua perlawanan, dua kali ketika mengatasi Inter 2-1 hujung minggu lalu.

Salah seorang penyerang terbaik generasinya, Ibrahimovic menghabiskan dua tahun dengan Milan sebelum ini, tempoh yang menyaksikan Milan kali terakhir menjuarai Serie A pada 2011.

Manakala buat Ronaldo, turut produktif sejak dia berhijrah ke Juve dari Real Madrid pada 2018, menjaringkan 68 gol dalam 91 penampilan di semua pertandingan.

Bagi Zaccheroni, dia tidak meragui pemain mana yang lebih banyak mempengaruhi Serie A.

"Saya telah melatih ramai sang juara sepanjang karier saya, daripada [Oliver] Bierhoff kepada [George] Weah hinggalah Adriano tetapi paling saya kecewa adalah tidak berpeluang melatih Ibrahimovic," katanya.

"Dia seorang yang abadi dan saya masih tidak faham mengapa dia tidak pernah memenangi Ballon d'Or.

"Di Itali, dia telah mengimbangi lebih berbanding Ronaldo. Bukan satu kebetulan bahawa banyak pemain muda berkembang dengan lebih pesat sejak kedatangannya.

"Dia tidak hanya menjaringkan gol. Dia memberikan keyakinan kepada semua rakan sepasukannya, membawa pasukan keluar di saat-saat sukar."