Peluang mara ke pusingan kedua Piala Malaysia 2019 daripada Kumpulan D dilihat masih terbuka dan keputusan PDRM mengikat Selangor 2-2 dalam aksi semalam memberi motivasi penting kepada skuad kendalian E. Elavarasan itu selepas berjaya mencuri satu mata.

Bagaimanapun, beliau berkata perjalanan pasukannya masih jauh dan mereka tidak boleh cepat berpuas hati dengan apa yang diperoleh setakat ini, sebaliknya mempertingkatkan prestasi untuk mengharungi baki perlawanan.

"Selepas ini, kalau menang, ia adalah lebih baik untuk pasukan melangkah ke pusingan kedua.

"Tiga pasukan dalam kumpulan ini, termasuk Melaka, perlu lebih berusaha kerana perbezaan mata yang tidak banyak, mana-mana yang menang dalam aksi akan datang dapat mata penting untuk berada di kedudukan lebih baik dalam kumpulan," katanya.

Terdahulu, dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu, pasukan The Cops terlebih dahulu mengejutkan The Red Giants menerusi jaringan Uche Agba pada minit ke-28 untuk mendahului perlawanan hingga berakhir babak pertama.

Skuad kendalian B. Sathianathan itu kembali bangkit apabila Taylor Regan menyumbat gol pada minit ke-68 sebelum Ifedayo Omosuyi menambah jaringan pada minit ke-80.

Namun, tujuh minit kemudian, pemain import PDRM, Lee Chang Hoon, berjaya menyamakan kedudukan dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu, Sathianathan berkata pemainnya tidak mengekalkan tumpuan selepas mendahului selain menganggap mudah pertemuan menentang PDRM dan kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan menjejaskan pasukannya.

"Sepatutnya mereka belajar daripada pertemuan pertama. PDRM bekerja keras menutup peluang yang ada dan mereka bermain dengan baik tetapi kami masih ada peluang dan akan melihat perlawanan seterusnya menentang Melaka United di Shah Alam nanti," tambahnya.

Kedudukan Kumpulan D menyaksikan persaingan sengit di antara Melaka United dan Selangor yang berkongsi enam mata untuk kedudukan teratas, diikuti PDRM yang mengumpul lima mata serta Felda United dengan satu mata.

-- BERNAMA