Ibu Roberto Mancini berkata Mario Balotelli sepatutnya dipertaruhkan tatkala ketua jurulatih itu masih tercari-cari jawapan kegagalan Itali layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Bercakap di Rai Radio 1, malam tadi, Marianna Puolo menganggap skuad Azzurri kendalian Mancini itu patut memanfaatkan keupayaan Balotelli dan kehadiran penyerang tersebut mampu menghalang kejutan di Palermo, di mana Itali tewas 0-1 kepada Macedonia Utara.

Balotelli, yang pernah mewakili Adana Demirspor dalam Super Lig Turki, sudah lama menjadi pemain kegemaran Mancini sejak mereka bekerjasama di Inter dan Manchester City.

Kini berusia 31 tahun, Balotelli mendapat panggilan semula untuk kem latihan Itali pada awal tahun ini. Bagaimanapun, khidmatnya tidak pernah diturunkan sejak tiga kali diketengahkan Mancini pada 2018 selain empat tahun tersisih daripada tersenarai.

Tiada ruang buat Balotelli mencuri tempat dalam skuad Itali bagi menghadapi play-off kelayakan Piala Dunia itu, lantas kekalahan separuh akhir kepada Macedonia Utara bermakna juara empat kali berkenaan bakal terlepas pusingan akhir di Qatar, hujung tahun ini, bagi mengulangi episod duka misi ke Russia empat tahun lalu.

“Kami menguasai permainan tetapi jentera serangan pula tidak hebat,” kata ibu Mancini.

"Apakah perbezaan yang saya akan lakukan (sekiranya berpeluang)? Saya akan memanggil Balotelli kerana dia mempunyai kekuatan fizikal yang luar biasa dan tiada siapa yang mampu menghalangnya di depan gawang.

"Kadang-kadang dia melakukan perkara yang bodoh tetapi saya akan tetap menurunkannya."

Itali melancarkan 32 percubaan namun gagal mencipta sebarang gol sementara Macedonia Utara yang hanya memiliki empat peluang berjaya menembusi kawalan Gianluigi Donnarumma pada masa kecederaan, sekali gus menghancurkan harapan Itali.