Zlatan Ibrahimovic menegaskan dia tidak perlu memenangi Ballon d'Or untuk membuktikan bahawa dia adalah yang terbaik.

Bintang Milan itu telah memenangi kejuaraan liga bersama Ajax, Inter, Barcelona, ​​Milan, Paris Saint-Germain (PSG) tetapi belum pernah merangkul anugerah individu berkenaan.

Pemain berusia 40 tahun itu memilih untuk kembali menyarung jersi Milan yang menyaksikan Rossoneri mengimpikan Scudetto pertama sejak kali terakhir Ibrahimovic membantu mereka menjulang trofi berkenaan pada 2010-11.

Ejen Ibrahimovic yang lantang bersuara, Mino Raiola, berkata dia tidak perlu memandang serius anugerah Ballon d'Or berikutan pemain antarabangsa Sweden terbabit tidak pernah menerima penghormatan individu itu.

Ketika ditemui dalam majlis pelancaran autobiografi terbarunya yang berjudul "Adrenaline", Ibrahimovic berkata: "Ballon d'Or adalah perkara yang bagus. Tetapi saya tidak memerlukannya untuk membuktikan bahawa saya adalah yang terbaik."




Perkara itu dibangkitkan selepas penggempur tersebut merakam gol liga ke-300 dalam lima kancah utama Eropah menerusi perlawanan terakhir Serie A di Udinese yang berkesudahan 1-1, kelmarin.

Ibrahimovic menyelamatkan Rossoneri dengan sentuhan menakjubkan ketika mencetak gol penyamaan da;a, masa kecederaan dalam penampilannya yang ke-450 dalam lima liga teratas iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL), Bundesliga, Serie A, LaLiga dan Ligue 1.

Sebelum ini hanya Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi telah mencapai tahap itu pada abad ke-21.

"Ia adalah soal mentaliti. Saya berlatih dengan cara yang sama seperti ketika saya bermain," katanya mengenai kariernya yang panjang.

"Setiap hari adalah perlawanan akhir. Situasi adalah sukar ketika saya tiba di Milan (untuk penggal keduanya) tetapi kami telah membentuk sebuah pasukan. Kami telah mencipta suasana yang hebat.

"Kemudian COVID-19 melanda tetapi kakitangan di sini hebat. Saya pernah beraksi untuk pasukan lain sepanjang kerjaya saya ini, tetapi dalam soal Milan ia benar-benar cemerlang. Kami menuju ke sasaran yang sama.

"Malangnya, kami tidak menang semalam (kelmarin). Saya sepatutnya menjaringkan dua gol.

"Sekarang, setiap hari saya bangun dengan kesakitan tetapi saya masih mempunyai adrenalina dan saya akan teruskannya. Tahun ini, adrenalina saya adalah untuk menjulang Scudetto. Semalam saya menyumbangkan gol tetapi kami tidak menang dan ia menyakitkan."