Bayern Munich bakal bertemu Real Madrid bagi perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) tanpa khidmat pemain pertahanan, Mats Hummels.

Pertahanan tengah itu mengalami kecederaan buku lali ketika menjalani sesi latihan semalam.

Hummels segera dikejarkan ke pusat kesihatan bagi menjalani pemeriksaan terhadap kecederaannya dan disahkan tidak akan beraksi dalam perlawanan akan datang di Allianz Arena.

"Saya tidak akan dapat beraksi pada Rabu," kata Hummels.
Kecederaan ini memberikan tamparan hebat buat pengendali pasukan, Carlo Ancelotti, yang membuat keputusan menurunkan Hummels dari bangku simpanan ketika melakar kemenangan 4-1 ke atas Borussia Dortmund.

Terdapat berita baik juga buat Ancelotti, Thomas Muller sudah kembali menjalani latihan selepas bebas daripada sebarang kecederaan.

Penyerang kelahiran Jerman itu terlepas aksi bertemu Hoffenheim dan Dortmund kerana kecederaan buku lali tetapi sudah bersedia untuk turun berdepan juara Eropah itu.