Jurulatih hoki Pahang, Sufian Mohamad, lega apabila boleh menyenaraikan khidmat tujuh pemain berstatus pelajar menjelang Piala Razak yang bermula Rabu depan.

Naib juara 2014 itu khuatir sukar memberi cabaran berikutan terpaksa melepaskan empat pemain ke skuad kebangsaan untuk fokus terhadap Trofi Juara-Juara Asia bulan depan.

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi lampu hijau untuk pelajar menyertai Piala Razak di Bukit Jalil musim ini ,secara tidak langsung melegakan 26 pasukan yang bertanding.

"Ia akan menguatkan lagi persiapan kami.

"Dengan kelibat pelajar, saya harap pencapaian kami akan lebih bagus," kata Sufian di Nadi Weekend sebentar tadi.

Sementara itu, pertahanan Pahang iaitu Wan Muhammad Najmi pula berhasrat menjadikan Piala Razak sebagai medan untuk menyerlahkan bakatnya.

"Dengan adanya kejohanan ini, saya ingin menonjolkan bakat saya untuk beraksi dalam Piala Dunia Remaja Dunia 2023," katanya.

Dalam masa sama, Setiausaha Kehormat Sabah, Avtar Singh, mendedahkan pasukan dari Borneo itu kali ini dibarisi khidmat 10 pelajar sebagai misi serampang dua mata untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

"Kami akan beberapa pemain senior tetapi pasukan ini juga dibentuk untuk Sukma," katanya pula.