ATLETICO 1 REAL MALLORCA 2

Diego Simeone menyokong pemainnya untuk membalas kekalahan mengejut LaLiga kepada Real Mallorca apabila berdepan Porto dalam Liga Juara-Juara (UCL), minggu depan.


Atletico Madrid berada di tangga keempat LaLiga –- tujuh mata di belakang pendahulu, Real Madrid -– selepas tewas 1-2 di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Ia adalah kekalahan pertama mereka kepada Mallorca di halaman sendiri sejak April 2006, malah pelawat gagal melakar sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan LaLiga terakhir.



Buat kali pertama, Atletico tumpas di laman sendiri selepas menjaringkan gol pertama sejak tewas 1-2 kepada Barcelona dalam kempen LaLiga pada September 2015.

Perhatian Atleti perlu segera beralih kepada perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Porto, Rabu depan, memandangkan selain daripada kemenangan maka mereka akan tersingkir.

Simeone turut menegaskan UCL tidak bermain dalam fikiran mereka ketika menentang Mallorca dan yakin kekalahan ini akan memotivasikan pemainnya ketika di Porto kelak.

"Saya tidak ragu-ragu kerana tamparan hebat seperti ini pastinya akan menimbulkan reaksi dan kami berharap dapat menemuinya Selasa depan (awal pagi Rabu)," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya sama sekali tidak fikir (ia mengganggu pemain). Situasi tertentu tidak dapat dikawal. Dua percubaan, dua gol terhasil adalah apa yang berlaku."