Pertahanan baru AC Milan, Theo Hernandez, bakal terlepas permulaan saingan Serie A bulan depan selepas kelab itu mengumumkan dia mengalami masalah ligamen.

Pemain berusia 21 tahun itu terpaksa diusung keluar dalam babak pertama perlawanan melibatkan Rossoneri dan Bayern Munich bagi saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) Selasa lalu yang menyaksikan Milan tewas 1-0.

Hasil pemeriksaan semalam telah mendedahkan bahawa Hernandez -- yang menyertai Milan daripada Real Madrid menerusi yuran berjumlah EUR20 juta (RM91 juta) -- terpaksa berehat selama sekitar dua minggu sambil ujian susulan akan dibuat.

Saingan Serie A bakal bermula sebulan lagi dan Milan berharap dapat memperbaiki kedudukan kelima yang diraih pada musim 2018-19.