Kapten Liverpool, Jordan Henderson, menegaskan bahawa Liverpool telah bersedia mengambil kesempatan terhadap laluan yang diharungi untuk ke final Liga Juara-Juara Eropah dan melepasi halangan terakhir bertemu Real Madrid.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu terpaksa mengharungi pusingan play-off pada awal musim ini menentang Hoffenheim untuk mengesahkan tempat di peringkat kumpulan tatkala kemenangan ke atas Brighton and Hove Albion pada hari terakhir saingan Liga Perdana Inggeris menjamin tempat buat mereka bagi saingan musim depan di pentas elit Eropah.

Bagaimanapun, Henderson berpendapat bahawa pengalaman yang dilalui oleh seluruh pasukannya itu mampu menjadi pembantu buat mereka menjelang aksi di Kiev.

"Sejak melalui aksi kelayakan menentang Hoffenheim dan melangkah ke peringkat kumpulan, kami telah melalui perjalanan yang jauh tetapi saya fikir ia mampu membantu kami pada Sabtu ini," katanya.

"Segalanya bagus. Kami mempersiapkan diri dengan sempurna sebelum bertemu Brighton. Kami sedar kami perlu menang untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah dan bagi saya, kami melakukannya dengan hebat, mengawal permainan sejak mula.

"Ia menjadi perlawanan yang baik untuk kami bersedia ke final. Diharapkan pada Sabtu ini, kami mampu meneruskan prestasi hebat."