Carlo Ancelotti berkata Eden Hazard akan kekal dalam perancangannya bersama Real Madrid bagi musim depan, di mana bintang Belgium itu sedang menunjukkan petanda untuk menemui prestasi terbaiknya.

Hazard menjaringkan gol kemenangan dalam waktu kecederaan untuk membawa Madrid ke suku akhir Copa Del Rey dengan menewaskan Elche di laman lawan itu kelmarin. Ia selepas dia turut membantu jaringan Marco Asensio ketika membenam Alcoyano 3-1 dalam penampilan sebelumnya.

Ia bermakna, Hazard telah terlibat dengan dua gol daripada dua perlawanan terakhir, sekali gus memberikan bayangan bahawa dia semakin menemui sentuhan terbaiknya dalam LaLiga.

Hazard dilaporkan menolak peluang untuk meninggalkan Madrid bulan ini, termasuk tawaran daripada Newcastle United, dan Ancelotti kini mahu mengekalkan pemain itu untuk tempoh lebih panjang.

"Benar, dia berada dalam perancangan kami bagi musim depan," kata ketua jurulatih Madrid itu menjelang perlawanan liga menentang Elche malam ini.

Ditanya sama ada ia waktu yang sesuai untuk Hazard diletakkan dalam kesebelasan utama, Ancelotti menambah: "Benar, ia hari waktu yang sesuai. Harap-harap ia menjadi waktu yang sesuai."