STOKE CITY 0 CHELSEA 4

Tiga gol penyerang Sepanyol, Alvaro Morata, membantu Chelsea untuk kekal di tangga ketiga saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Stoke City 4-0 di Stadium Bet365, malam tadi.


Dia, yang sebelum ini telah menjaringkan tiga gol buat The Blues, tidak menunggu lama untuk mempamerkan taring apabila meledak gol pertama ketika permainan baru berusia dua minit.

Tatkala Stoke berusaha untuk menyamakan kedudukan, Chelsea berjaya menambah gol kedua, kali ini menerusi pemain sayap, Pedro, yang tenang melepaskan rembatan kaki kanan dari jarak dekat menewaskan penjaga gol tuan rumah, Jack Butland, untuk meletakkan skuad kendalian Antonio Conte selesa mendahului 2-0 pada minit ke-30.

Babak kedua menyaksikan Chelsea banyak menguasai perlawanan dan serangan bertali-arus anak-anak buah Conte membolehkan Morata menambah gol kedua peribadi dan ketiga pasukan pada minit ke-77.

Kesilapan pertahanan Stoke, Glen Johnson, gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pantas dimanfaatkan bekas penyerang Real Madrid itu yang mudah melambungkan bola melepasi Butland sebelum masuk ke gawang.

Morata melengkapkan hatrik pertamanya di England lima minit kemudian apabila Cesar Azpilicueta bijak mendada bola sebelum membuka ruang buat penyerang berusia 24 tahun itu untuk menolak bola masuk dan kedudukan kekal 4-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Morata kini memegang status penjaring terbanyak liga dengan enam gol, berkongsi tempat bersama dua penyerang kelab Manchester, Sergio Aguero dan Romelu Lukaku.