Pemain terbaru Preston North End, Josh Harrop, berkata keinginannya untuk beraksi dalam kesebelasan utama mendorong keputusannya meninggalkan Manchester United.

Harrop memenuhi impian untuk membuat penampilan sulung bersama United selepas menjaringkan gol di Old Trafford ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace.

Tetapi pemain tengah itu membuat keputusan untuk bersama kelab Liga Kejuaraan, Preston, selepas menandatangani kontrak selama empat tahun dengan nilai perpindahan yang tidak didedahkan.

Harrop mengesahkan bahawa United telah menawarkan kontrak baru kepadanya tetapi keinginan untuk beraksi dalam kesebelasan utama adalah keutamaannya.

"Saya sudah berusia 21 tahun dan memiliki keyakinan terhadap keupayaan saya. Saya perlu beraksi dengan lebih kerap dalam saingan utama," kata Harrop.

"Ia bukan satu jaminan di United. Walaupun mereka telah menawarkan kontrak baru, waktu bermain yang terhad memaksa saya untuk menolak di atas dasar usia saya yang semakin meningkat.

"Saya perlu beraksi bagi membuktikan kebolehan yang saya miliki."