Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut memaklumkan baginda tiada halangan untuk melepaskan mana-mana pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) FC bagi menyertai skuad kebangsaan jika ia melibatkan aksi yang termasuk dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tegas Tunku Ismail merangkap pemilik Harimau Selatan, baginda bukan sahaja akan melepaskan pemainnya malah akan menawarkan kemudahan serta sokongan yang diperlukan Harimau Malaya.

Kenyataan itu secara tidak langsung menutup spekulasi yang mendakwa pengurusan JDT tidak membenarkan pemain mereka menyertai kem kebangsaan.

"Kalau kalendar FIFA, saya sentiasa izinkan dan beri sokongan sepenuhnya.

"Tetapi kalau tiada dalam jadual FIFA dan bagi pandangan saya (selaku) orang yang membayar gaji, benda itu tiada faedah dan hanya buang masa.

"Tapi kalau dalam kalendar FIFA atau mana-mana kejohanan FIFA, saya bukan sahaja memberi pemain, malah tawarkan apa sahaja pasukan kebangsaan kemudahan di Johor Darul Ta'zim.

Macam malam ini mereka ada latihan di Padang Seri Gelam -- pusat latihan kami.

"Untuk membantu pasukan kebangsaan, saya sangat positif dari awal hingga hari ini.

"Untuk kejohanan FIFA, jadual perlawanan FIFA dan perlawanan FIFA, saya sentiasa berikan sokongan penuh dan untuk apa sahaja program persiapan mereka," ujar TMJ dalam temu bual bersama media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.