Pemain pertahanan negara, Mahali Jasuli, menganggap tanggungjawabnya selaku pemain senior memainkan peranan penting untuk menghidupkan kesebelasan utama skuad negara dengan menuntut sedikit masa untuk mencapai keserasian sebenar.

Mahali mengakui dalam dua aksi dengan Mongolia dan Lubnan baru-baru ini, barisan pemain masih membina keserasian dalam pasukan.

Dia mengharapkan tempoh masa untuk skuad negara benar-benar memahami cara permainan masing-masing dengan jaminan situasi itu mampu membawa kepada aksi lebih baik daripada skuad negara dalam perlawanan seterusnya.

"Tempoh latihan bagi pemain baru agak singkat tetapi bagi saya, ia berjalan dengan baik setakat ini.

"Mereka cepat menyesuaikan diri dan dalam sehari dua ini, semua pemain akan dapat mencipta keserasian dengan pemain yang berlatih lebih awal," ujar pemain PKNS FC itu.

Lantaran itu, perlawanan persahabatan dengan Bhutan pada Ahad ini menjanjikan peningkatan prestasi daripada barisan Tan Cheng Hoe.

Selaku pemain utama ketika era Datuk K. Rajagobal, namun sejak 2015, penampilan Mahali semakin jarang dilihat bersama skuad negara.

Pemain berusia 29 tahun itu bertekad menjadi tulang belakang Harimau Malaya yang melihat saingan Kejohanan Piala AFF 2018 sebagai modal terbaik untuk melonjakkan skuad negara di peringkat antarabangsa.

"Persiapan tahun ini adalah untuk Piala AFF dan bagi saya, pemain perlu konsisten dalam perlawanan persahabatan dan ketika bersama kelab.

"Itu juga satu cabaran untuk pemain kerana kami akan menghadapi tugas penting pada hujung tahun nanti," katanya lagi.