Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bersetuju dengan rakan sejawatannya di Manchester City, Pep Guardiola, bahawa kedua-dua pasukan itu tidak sepatutnya menamatkan musim ini di tempat kedua.

Hanya satu mata memisahkan dua pasukan itu dengan hanya berbaki tiga perlawanan musim ini selepas juara bertahan, City, kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Manchester United 2-0 di Old Trafford, semalam.

Selepas perlawanan itu, Guardiola berkata City dan pasukan di tangga kedua, Liverpool, layak menjulang kejuaraan berdasarkan prestasi keseluruhan musim ini.

Klopp bersetuju dengan pandangan itu dan membandingkan situasi berkenaan dengan wira yang berjuang sehingga ke penghujung nafas dalam filem Highlander pada era 80-an.

Ditanya sama ada kedua-dua pasukan layak menjadi juara musim ini, Klopp berkata dalam sidang media: "Benar, namun ia tidak akan terjadi.

"Ia seperti Highlander. Hanya salah satu daripada kami akan berada di sana pada akhirnya.

"Kami bukan hanya beraksi untuk menjadi juara pada penghujung musim.

"Benar, ia adalah sasaran yang besar dan kami agak hampir dan berpeluang.

"Namun, ia adalah kali pertama dan bukan kali terakhir.

"Hanya kerana kelab dan penyokong sudah lama menantikannya, ia tidak bermakna kami akan meraihnya.

"Ia agak mengejutkan kerana dalam musim lalu, kami ketinggalan sebanyak 25 mata.

"Ia amat baik, hanya itu yang saya boleh katakan.

"Kami perlu meneruskannya, namun hanya satu pasukan akan bergelar juara.

"Terdapat tiga perlawanan lagi dan kami mahu memenanginya.

"Huddersfield, Newcastle (United) dan Wolves. Itulah situasinya.

"Jika kami memenanginya, kami menang.

"Jika tidak, tiada sebarang penyesalan selagi kami memberikan yang terbaik.

"Saya telah melihatnya sepanjang musim ini.

"Bagaimana sahaja musim ini akan berakhir, ia adalah langkah pertama kami," katanya.

Liverpool dikaitkan dengan bintang Napoli, Lorenzo Insigne, namun Klopp menegaskan pemain kebangsaan Itali itu bukan sasaran pasukannya.

"Kami tidak akan menandatangani Lorenzo Insigne.

"Dia pemain yang bagus, namun memiliki kontrak jangka panjang dengan Napoli.

"Mata kami sentiasa terbuka dan kami sentiasa mencari.

"Pelbagai perkara boleh terjadi, namun tiada apa untuk diperkatakan buat masa ini," tambahnya.