Ketua jurulatih SMK Putera, Mohd Hanapiah Awang, mendedahkan ada strategi khas yang bakal digunakan pemainnya untuk memerangkap juara Liga Super, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) A, dalam saingan separuh akhir Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun (B-14) di Stadium Mini Kijang Mas, Kota Bharu, petang ini.

"Biarpun di atas kertas, SSMP A dianggap pasukan pilihan tetapi kami tidak mudah menyerah kalah.

"Pemain cukup bersemangat untuk melakar satu lagi kejutan dan kami telah bersedia dengan pelan taktikal untuk memerangkap pergerakan lawan.

"Kami jangka pasukan SSMP akan menyusun strategi serangan dari bawah dan cuba menguasai bahagian tengah untuk perangkap benteng pertahanan Kelantan," katanya.

Hanapiah juga gembira kesebelasan utamanya tidak mengalami sebarang kecederaan dan boleh diturunkan untuk aksi penting, petang ini.

"Alhamdulillah, mereka (pemain) tidak sabar untuk menghadapi cabaran dalam separuh akhir dan kami akan berikan yang terbaik di gelanggang sendiri untuk memburu tiket ke final," ujarnya.

Untuk rekod, SMK Putera mara ke separuh akhir selepas menundukkan SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang 3-1 di gelanggang sendiri, manakala SSMP A menumbangkan SMK Tun Hussein Onn 3-0.

Kredit Foto: FB Majalah Putera