Kapten skuad bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), Mohd Hafizuddin Sulaiman, sedia mengambil cuti tanpa gaji pada musim depan bagi mengejar cita-citanya merasai pengalaman beraksi dalam Liga Perdana.

Dia yang kini merupakan seorang guru pelatih di salah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina di Sekinchan tidak mahu melepaskan peluang selepas membantu pasukannya berada dalam kelompok dua terbaik di pentas Liga FAM, musim ini.

Dalam masa sama, dia menyedari bahawa hanya pemain profesional boleh beraksi dalam Liga Perdana dan Hafizuddin bertekad mahu terus berbakti kepada UKM FC serta melakukan pengorbanan bercuti tanpa gaji sepanjang tahun 2018.

"Bermain di pentas yang lebih tinggi adalah impian saya sebagai pemain bola sepak, jadi saya mengambil peluang ini. Tidak salah untuk saya mengambil cuti tanpa gaji demi mengejar cita-cita," katanya.

Mengenai kejayaan UKM layak ke pentas final Piala FAM, Hafizuddin berasa terharu dengan kerja keras rakan sepasukan walaupun ramai pihak tidak memberikan sebarang harapan.

Kekuatan semangat berpasukan menjadi teras utama pasukannya yang kini mula memasang impian mahu mengejutkan Sime Darby di pentas akhir.

"Sejak awal musim, pengorbanan yang saya lakukan selama sembilan bulan, saya rasa berbaloi kerana diberikan peluang untuk beraksi di pentas final," katanya lagi.