Masa depan penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland, terus menjadi perhatian memandangkan penggempur dari Norway itu masih lagi belum menandatangani kontrak baru untuk terus kekal di Signal Iduna Park.

Situasi terus menjadi sukar buat Die Borussen tatkala masa kini berbaki sekitar tujuh bulan sebelum penebusan klausa perpindahan bernilai GBP68 juta itu dibenarkan pada musim panas nanti.





Real Madrid, Barcelona, Manchester United, Manchester City merupakan antara pasukan yang dilaporkan berminat dengan khidmat pemain berusia 21 tahun itu sambil juara Jerman, Bayern Munich, tentunya tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk mencari pengganti terbaik buat peledak utama, Robert Lewandowski, lebih-lebih lagi setelah pemenang Penyerang Terbaik 2021 dalam acara Ballon d’Or baru-baru ini kini dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol.

Pahit untuk ditelan tetapi realitinya, Dortmund harus bersedia dengan sebarang kemungkinan kehilangan khidmat Dortmund dan perkara itu juga diakui oleh bekas pemain BVB, Patrick Owomoyela, sewaktu dalam sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Hans-Joachim Watzke, sendiri tidak pasti sama ada musim ini bakal menjadi kempen terakhir Haaland di sini. Ia seolah-olah memberi bayangan. Pihak kelab tentunya melakukan yang terbaik untuk mengekalkan khidmatnya. Haaland memiliki kontrak panjang di Dortmund,” katanya.

“Sebelum ini, kita banyak melihat situasi di mana mengambil langkah ke depan terlalu awal bukan satu tindakan bijak. Mengapa tidak untuk meneruskan perkembangan karier di sini? Pemain lain seperti Jude Bellingham juga berada di sini dan melalui proses pembangunan yang begitu menarik.”

Real Madrid merupakan antara kelab yang paling menonjol dalam usaha mendapatkan khidmat Haaland sejak awal tahun ini selepas wujud dakwaan bahawa Presiden Los Blancos, Florentino Perez, bercadang untuk berbelanja besar dengan membawa masuk bekas bintang RB Salzburg itu serta pemain sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.





Bagaimanapun, Owomoyela – yang melakukan 84 penampilan bersama Dortmund sewaktu bergelar pemain – berpendapat sebaliknya dan tidak menjawab secara terperinci apabila ditanya mengenai kelab yang paling sesuai buat Haaland ketika ini, apabila berkata, “Haaland merupakan satu pakej yang besar. Ia memerlukan jumlah wang yang besar untuk dia dan juga kelab.

“Berapa banyak kelab yang memiliki kemampuan kewangan serta mematuhi peraturan kewangan Fifa (FFP)? Kelab yang berminat juga perlu berhati-hati. Mungkin dengan bantuan daripada undang-undang FIFA, kami dapat mengekalkan khidmat Haaland lebih lama.”