Apabila juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, tewas kepada seteru utama mereka, Manchester United, di Old Trafford, ia telah memberikan ruang kepada Arsenal untuk terus meninggalkan jauh penghuni tempat kedua carta liga itu dengan lapan mata setelah menewaskan Tottenham Hotspur.

Ini akan memberi kelebihan kepada The Gunners untuk terus mendominasi carta liga ketika ini dan akan meningkatkan lagi moral serta motivasi anak didik Mikel Arteta itu untuk terus memberikan aksi terbaik mereka.

Kemenangan The Gunners di tempat lawan itu akan terus melonjakkan moral pemain-pemain muda mereka, terutama seperti Gabriel Martinelli, Eddie Nketiah, Bukayo Saka dan Martin Odegaard, untuk membuktikan bahawa mereka boleh menjadi tunjang utama pasukan itu untuk mencipta kejayaan.

Berdasarkan statistik yang dilakukan Odegaard musim ini dengan lapan jaringan dan lima umpanan yang dilakukan ketua pasukan itu ketika ini, ia telah membuktikan bahawa mereka mampu melakukannya.

Dengan statistik itu juga, ia mampu mempengaruhi pemain-pemain lain untuk terus memberikan aksi konsisten.

Kekuatan yang ada pada The Gunners ketika ini sebenarnya bukan sahaja semangat berpasukan yang utuh tetapi juga ketajaman bahagian penyudah dan kreativiti daripada pemain-pemain muda mereka ketika ini.

Itulah yang membuatkan The Gunners mampu memberikan saingan dan mencabar pasukan-pasukan yang lebih hebat. Lihat sahaja daripada statistik perlawanan semalam, di mana lima percubaan tepat dilakukan dari 14 percubaan walaupun di gelanggang lawan.

Ia menggambarkan keyakinan yang dimiliki oleh pemain-pemain muda Arsenal ketika ini amat tinggi, terutama di bahagian serangan.

Jika situasi ini mampu dikekalkan sehingga penghujung liga, sudah tentu ia akan menggusarkan pasukan lain untuk terus mencabar The Gunners seperti Man City.

Sementara itu, bagi Arteta pula, dia perlu merancang dan memikirkan sesuatu jika pemain-pemainnya mengalami kecederaan kerana perjalanan liga masih jauh. Itu berdasarkan apa yang dilalui Gunners musim lalu.

Mengikut senarai pemain yang dimiliki Arteta ketika ini, ia tidak mustahil boleh mengimbangi kembali pasukan mereka kerana kesemua pemain-pemainnya sudah memahami kehendak Arteta dan cara permainannya dan ini akan menyemarakkan lagi peminat-peminat The Gunners untuk terus menyokong Arteta, di mana kerana kali terakhir Arsenal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris adalah pada musim 2003-2004.