Ilkay Gundogan mendedahkan Jurgen Klopp adalah antara golongan pertama yang mengucapkan tahniah kepadanya selepas Manchester City meranapkan impian Liverpool untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (kelmarin).

Gundogan dimasukkan sebagai pemain gantian untuk meledak dua gol ketika City bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Aston Villa 3-2 di Stadium Etihad.

Kemenangan itu bermakna Liverpool kendalian Klopp kekal satu mata di belakang City dalam perebutan liga tetapi ia tidak menghalang pengurus berusia 54 tahun tersebut daripada menghubunginya.

Gundogan pernah beraksi di bawah bimbingan Klopp ketika di Borussia Dortmund di antara 2011 dan 2015 dan pemain berusia 31 tahun tersebut terharu apabila bekas bosnya itu tetap sudi mengetepikan kekecewaannya dan mengucapkan tahniah.

“Dia adalah antara orang yang terawal,” katanya kepada Sport1.

"Kami sentiasa berhubung dengan penuh rasa hormat. Dia telah mengharungi satu lagi musim yang sangat baik bersama Liverpool dan menyukarkan kami. Dia seorang lelaki serta jurulatih yang cemerlang, dia telah membuktikannya selama ini.

"Ia benar-benar sukar dipercayai. Hakikatnya kami memenangi gelaran di depan penyokong sendiri dan ia benar-benar sempurna. Stadium benar-benar bergema, kami hanya menjerit kegembiraan dan kelegaan.

"Kami terpaksa berikan permainan maksimum dalam 38 perlawanan dan tidak boleh lalai sama sekali memandangkan Liverpool sedang mengintai setiap saat.

"Ia adalah satu pengakhiran yang hebat untuk musim yang panjang dan mendebarkan."