Pep Guardiola berkata dia tidak pernah meragui kualiti Phil Foden di atas padang selepas pemain muda itu menandakan kepulangannya ke pasukan Manchester City dengan satu-satunya gol menentang Brentford.

Foden menyudahkan hantaran lintang Kevin De Bruyne untuk menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris kelimanya dalam kempen dan memastikan kemenangan City 1-0 dalam pertembungan awal pagi tadi.

Pemain berusia 21 tahun itu, bersama Jack Grealish, telah diketepikan daripada barisan City untuk dua perlawanan mereka sebelum ini selepas diberi amaran mengenai tingkah lakunya di luar padang oleh Guardiola.

Ia berlaku selepas dua pemain itu berada di kelab malam bergaul dengan orang lain tanpa memakai pelitup muka sehari sebelum mengambil bahagian dalam sesi latihan bersama pasukan.

Namun Foden kembali dalam skuad utama Guardiola dan meledak gol kemenangan di Stadium Brentford Community, dengan jaringan tersebut memastikan mereka mendahului lapan mata di puncak liga.

"Menakjubkan," kata Guardiola kepada Amazon Prime.

"Dengan Foden, seorang pemain berkualiti, kami tidak pernah meragui kemampuannya. Kami sudah mengetahuinya. Sejak dia bermain bersam kami, dia sentiasa menakjubkan."

Foden diturunkan sebagai di posisi 'false nine' dan sudah terbiasa dalam menghasilkan jaringan dan percubaan keduanya telah dinafikan VAR kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Pada usia 21 tahun dan 215 hari, Foden menjadi pemain kedua termuda City menghasilkan 20 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas rakan sepasukan, Gabriel Jesus (21 tahun 40hari).