Pep Guardiola menegaskan dia perlu melayani semua pemain Manchester City dengan sama rata selepas Raheem Sterling mendedahkan bahawa dia terbuka untuk meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Dalam satu temu bual bersama Financial Times kelmarin, penyerang England itu mengakui sedia mempertimbangkan untuk meninggalkan City demi mendapatkan minit permainan.

Sterling menjadi tonggak utama kelab itu sejak kehadiran Guardiola pada 2016, namun lebih banyak memanaskan bangku simpanan di penghujung musim lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu, bagaimanapun, masih taruhan utama dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) sebelum memperkuatkan England dalam Euro 2020, tetapi setakat ini dia hanya terbabit dalam 274 minit permainan liga dengan membuat dua permulaan.

Guardiola tidak menyedari pandangan yang disuarakan oleh anak buahnya itu, tetapi menjelaskan bahawa dia tidak mungkin akan memberi layanan istimewa kepada seorang pemain sahaja mahupun meyakinkan mereka mengenai peluang beraksi.

"Raheem adalah tonggak kami, kami gembira dengan pemain yang sangat penting seperti ini," katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan dengan Burnley, malam ini.

"Beberapa pemain mahu bermain sepanjang masa tetapi saya tidak dapat meyakinkan mereka, mereka juga tahu. Saya tidak dapat menjamin berapa minit semua orang akan dapat. Selalunya mereka harus bercakap di atas padang, itu adalah saat terbaik.

"Bukan Raheem sahaja, malah semua pemain. Apa yang saya mahukan adalah semua orang berasa gembira, puas dan gembira berada di kelab ini. Sekiranya ia tidak berlaku, mereka bebas mengambil keputusan yang terbaik.

"Mereka perlu berasa gembira. Mengenai lebih banyak minit permainan, saya amat memahaminya. Saya adalah bekas pemain dan saya sentiasa mahu bermain."







Ditanya betapa sukarnya meninggalkan pemain berkaliber tinggi dalam kesebelasan utama, Guardiola berkata: "Sudah tentu bukan mudah. ​​Raheem beraksi dalam final Liga Juara-Juara. Dia pemain penting.

"Tetapi saya harus melayani Cole Palmer sama seperti Kevin De Bruyne. Mengapa saya harus berkelakuan berbeza di antara De Bruyne dengan Palmer? Kedua-duanya mempunyai ibu bapa, teman wanita, isteri, rakan-rakan. Tiada sebab mengapa. Saya harus bersikap sebegitu.

"Dalam karier saya, pemain penting tidak terbabit dalam dalam permainan penting. Saya mengambil keputusan terbaik demi pasukan, bukan untuk pemain dan bukannya untuk diri sendiri."