Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, menawarkan dorongan kepada salah seorang pemain terbaik di dunia iaitu Antoine Griezmann untuk kembali ke prestasi sebenarnya termasuk menawarkan sokongannya kepada Luis Suarez yang berdepan ketumpulan merobek gawang lawan.

Pasukan bimbingan Simeone itu menduduki tangga keempat LaLiga, empat mata di depan Real Betis yang menguasai tempat kelima dan ingin memastikan kelayakan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, kedua-dua penyerang itu berdepan masalah prestasi tatkala Joao Felix terpaksa diketepikan akibat tercedera.

Griezmann hanya menyumbat tiga gol LaLiga dalam 21 penampilan musim ini dan secara purata menyumbangkan satu gol setiap 448 minit dan gagal menghasilkan sebarang gol dalam lapan perlawanan liga terakhirnya.

Begitupun, Simeone menegaskan pemain antarabangsa Perancis itu hanya memerlukan satu jaringan untuk mendapatkan semula keyakinannya ketika Atletico bersiap sedia untuk melawat Athletic Bilbao, awal pagi esok.






"Antoine gagal memanfaatkan peluang dalam perlawanan baru-baru ini, persembahannya tidak seperti kebiasaannya," kata Simeone kepada pemberita dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

“Dia antara pemain yang paling banyak menyumbangkan gol dalam sejarah Atletico. Dia sentiasa bekerja keras, dia sentiasa komited dengan cabaran sepasukan, saya sama sekali tidak meragui bahawa dia akan keluar daripada situasi ini.

"Ia adalah Griezmann, antara pemain yang terbaik di dunia, apa yang diperlukannya ialah mencari gol untuk merangsang keyakinannya. Dari situ, kita akan melihat Griezmann yang biasa kita saksikan pada tahun-tahun sebelumnya."