Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GFCS) memohon Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah, campur tangan dalam kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selain memastikan bola sepak negeri itu dapat diselamatkan.

Kira-kira 50 penyokong Selangor yang mewakili 10 kelab penyokong, menyerahkan memorandum itu kepada wakil Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Mereka menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Sharafuddin untuk memastikan skuad bola sepak Selangor terus bernyawa dan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Bagi mereka, hanya ini jalan terakhir boleh dilakukan selepas melihat tiada formula penyelesaian mampu dicapai FAS sehingga kini.

"Patik-patik sekalian yakin hanya Kebawah Duli Tuanku Sultan Sharifuddin Idris Shah yang mampu mengembalikan kepercayaan serta keyakinan rakyat kepada pasukan bola sepak Selangor serta pihak-pihak korporat di negeri ini yang mampu membantu perkembangan bola sepak Selangor," kata Presiden Penaja Gabungan Kelab Penyokong Selangor, Muhd. Faizal Wahid.

Dalam masa yang sama, GFCS akan meneruskan desakan mereka dengan menganjurkan 'flashmob' di hadapan pejabat FAS pada Selasa depan.

Mereka mengakui tidak akan berdiam diri selagi masa depan bola sepak Selangor dalam kedudukan terancam.

"Kami akan menuntut FAS menyatakan apa yang telah berlaku selama ini berikutan ketiadaan dana sehingga adakah pasukan Selangor wajar dibubarkan.

"Kami mahukan kenyataan daripada mereka. Jadi, FAS perlu bersiap sedia untuk menerima kedatangan kami."