Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, menggambarkan kemenangan 2-1 (agregat 4-3) ke atas Barcelona dalam saingan timbal balik playoff pusingan 16 Liga Europa awal pagi tadi sebagai kejayaan terbesar dalam kerjayanya.

Kini pakar taktik berbangsa Belanda itu percaya pasukannya mampu menewaskan sesiapa sahaja.

Menurut Daily Mail, satu eksperimen dilakukan di Old Trafford, di mana tiada sebarang muzik dimainkan dalam tempoh 15 minit sebelum sepak mula bagi membolehkan penyokong membina suasana dengan laungan tersendiri.

Tidak kiralah sama ada eksperimen ini mendorong kepada kemenangan itu ataupun tidak, apa yang pasti adalah stadium keramat United sudah begitu lama tidak bergegar dengan sorakan kemenangan sekuat hati -- seolah-olah melepaskan segala penderitaan yang ditanggung selama bermusim-musim lamanya.

Seharusnya United mengucapkan ribuan terima kasih kepada tiga pemain Brazil – Fred, Casemiro dan Antony -- yang masing-masing memainkan peranan teramat penting dalam memastikan kemenangan dikecapi.

Fred, yang dijadikan mangsa bahan jenaka penyokong buat sekian lama, sebelum ini diamanahkan oleh Ten Hag untuk mengawal pemain kreatif utama Barcelona, Frenkie De Jong.

Di akhir perlawanan, Ten Hag menggambarkan persembahan Fred bagaikan seekor nyamuk yang begitu menjengkelkan dan sentiasa mengganggu pihak lawan serta turut berjaya menyumbat gol penyamaan – tiada lagi apa-apa yang boleh ditertawakan.



Penjaga gol United, David De Gea, nyaris-nyaris meneruskan rentetan kesilapan memalukan daripada perlawanan Liverpool-Real Madrid kelmarin, apabila sepakannya melencong tepat ke arah Sergi Roberto di hadapan pintu gol dan menghadiahkan peluang keemasan kepada Frank Kessie untuk menjaringkan gol kedua Barcelona.

Mujurlah Casemiro hadir untuk menyelamatkan keadaan.

Persembahan United sama sekali berbeza apabila pemain tengah bertahan ini tidak turun ke padang, dan aksinya merebahkan badan lalu menghalang sepakan Kessie pada saat-saat terakhir adalah detik paling penting dalam memastikan United masih kekal bersaing dalam pertandingan ini.

Minit ke-73 perlawanan menyaksikan impak pertukaran pemain daripada Ten Hag akhirnya membuahkan hasil apabila Antony tiba di posisi paling tepat untuk melepaskan rembatan dari sudut sayap kanan, selepas dua percubaan berturut-turut Antony Garnacho dan Fred masing-masing dihalang pemain pertahanan Barcelona – gol kemenangan buat United.

Bekas penjaga gol United, Peter Schmeichel, mengibaratkan impak yang dihadirkan oleh Ten Hag sebagai pengurus adalah mirip Sir Alex Ferguson, di mana United kelihatan kurang memberangsangkan dalam separuh masa pertama tetapi bangkit dan kelihatan seperti pasukan yang sama sekali berbeza dalam separuh masa kedua.

Tambah Schmeichel lagi, United telah menanti selama 10 tahun akan kehadiran seorang pengurus yang mampu menyamai apa yang dibawa oleh Ferguson, dan dia percaya Ten Hag adalah jawapan kepada penantian berkenaan.



Buat Barcelona pula, ini merupakan kali pertama sejak musim 1998-99 mereka tersingkir daripada kejuaraan Eropah sebelum sampai ke peringkat 16 terakhir.

Pengurusnya, Xavi, menekankan bahawa ketiadaan dua pemain penting, Pedri dan Gavi, yang masing-masing dibelenggu kecederaan dan digantung perlawanan, memberikan impak cukup negatif terhadap pasukan hingga mereka tidak dapat menunjukkan kekuatan sebenar.

Dia, bagaimanapun, tetap kekal optimis dan berharap musim depan akan menghadirkan keputusan lebih positif.

United kini masih kekal dalam persaingan untuk merebut empat piala musim ini dan perlawanan akhir menentang Newcastle United dalam Piala Carabao bakal menjadi tumpuan seterusnya.