Gelson Martins telah menerima hukuman penggantungan selama enam bulan kerana menolak pengadil sewaktu mewakili AS Monaco.

Bintang Portugal itu digantung oleh Liga Bolasepak Profesional (LFP) sejak 6 Februari lalu susulan insiden yang berlaku di Nimes, lima hari sebelum itu.

Martins menolak Mikael Lesage dua kali ketika pasukannya tewas 3-1 selepas berang dengan layangan kad merah yang diberikan kepada rakan sepasukannya, Tiemoue Bakayoko, pada minit ke-32.

Pemain sayap itu -- yang menyertai Monaco secara tetap daripada Atletico Madrid pada tahun lalu -- turut diarah meninggalkan padang kerana menolak Lesage buat kali kedua.

Selepas video diteliti dan bercakap dengan Martins, pihak LFP menghukum pemain itu dengan penggantungan panjang yang berkuatkuasa sejak dia diberikan kad merah.

Pemain berusia 24 tahun itu telah terlepas lima perlawanan tetapi kini harus melupakan baki saingan domestik di Perancis.

Monaco mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung situasi itu, menyifatkan hukuman itu sebagai terlalu berat.

"AS Monaco menerima keputusan panel disiplin LFP yang memberi hukuman penggantungan enam bulan kepada Martins bermula 6 Februari dan ia sangat berat," kata wakil kelab itu.

"Pihak kelab tidak menyokong tindakan pemain itu tetapi turut kecewa dengan penggantungan panjang yang diberikan kepada seorang pemain yang tidak pernah terlibat dengan sebarang isu dalam 200 perlawanan di peringkat tertinggi."