Jika dilihat daripada suasana saingan Liga Super musim ini selepas setiap pasukan memgharungi empat perlawanan, ia telah menampakkan satu gelombang kemeriahan liga bola sepak negara.

Dengan kehadiran penyokong yang begitu ramai di setiap stadium, itu telah memberikan satu indikasi positif terhadap sambutan yang diberikan oleh peminat-peminat bola sepak negara di mana statistik kehadiran penonton yang dimaklumkan Malaysia Football League (MFL) dalam dua perlawanan yang telah dilalui semua pasukan dalam saingan Liga Super telah mencecah 150,205 orang.

Ini menunjukkan bahawa penyokong-penyokong bola sepak tempatan masih lagi mencintai bola sepak dan terus memberikan sokongan kepada pasukan mereka.

Daripada situasi inilah pengurusan pentadbiran pasukan, terutama bahagian pemasaran, perlu bijak mengambil kesempatan untuk terus memperomosikan pasukan mereka di media-media sosial serta aktiviti-aktiviti yang mendekatkan pasukan dengan penyokong-penyokong bagi mengekalkan hubungan rapat dengan penyokong-penyokong mereka supaya penaja-penaja mendapat manfaatnya.

Daripada segi prestasi pasukan yang bertanding juga telah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa, sebagaimana pasukan Kelantan dan Perak yang mula mencipta kemenangan pertama mereka.

Ini sebenarnya hasil daripada sokongan dan kehadiran penyokong-penyokong yang ramai ke stadium semasa bermain di laman mereka sendiri. Begitulah efektifnya apabila ada sokongan moral daripada penyokong-penyokong kepada pemain-pemain kerana dengan sokongan itu, ia akan memberikan ransangan kepada mereka untuk terus memberi aksi terbaik.

Dengan promosi-promosi dan program-program majalah yang disediakan penyiar rasmi liga bola sepak Malaysia, iaitu Astro, ia juga banyak membantu menarik minat penyokong-penyokong untuk mengikuti rapat pasukan mereka dan pasukan lawan.

Selain itu, kemeriahan yang semakin memuncak yang dibawa penyokong-penyokong itu pasti akan membantu menaikkan nilai komersial Liga Malaysia kerana daripada itulah ia dapat membantu kelab untuk menambah pendapatan dan membantu kesetabilan kewangan kelab. Masa inilah pengorbanan yang dibuat penyokong-penyokong itu perlu dibalas dengan kemenangan dengan aksi-aksi berkualiti daripada pemain-pemain.

Kredit foto: Johor Southern Tigers